| Full Report: |
KUALA LUMPUR: Peratusan masalah jenayah membabitkan pelajar menunjukkan hanya 0.03 peratus daripada lebih lima juta pelajar di negara ini terbabit dengan masalah itu.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sepanjang 2008, seramai 3,629 pelajar ditahan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan walaupun peratusan menunjukkan angka kecil ia tetap perlu diberi perhatian serius.
Sebagai langkah proaktif, YPJM akan membantu Kementerian Pelajaran menggerakkan lebih 2,500 Kelab Pencegahan Jenayah di setiap sekolah seluruh negara.
Melalui kelab berkenaan, penekanan akan diberi kepada pelajar bagi memastikan mereka sedar keburukan selain tidak terbabit dalam jenayah seperti buli, peras ugut dan gangsterisme, katanya di sini, semalam.
Antara punca menjadikan pelajar terbabit dalam kegiatan jenayah ialah ketiadaan prasarana lengkap bagi mereka menghabiskan waktu lapang dengan aktiviti berfaedah seperti bersukan.
Jenayah membabitkan pelajar di kawasan bandar adalah serius, dengan sebahagian besar kemudahan sukan dan riadah tidak mencukupi atau tiada langsung membabitkan lokasi seperti pangsapuri kos rendah.
Ia menyebabkan pelajar cuba memenuhkan masa lapang dengan melakukan aktiviti lain tidak berfaedah seperti merempit dan akhirnya ada yang terbabit dalam jenayah, katanya.
Beliau turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pemeriksaan kerap terhadap kafe siber kerana ramai pelajar yang mahu ponteng sekolah atau melayari laman web lucah menjadikan premis terbabit sebagai tumpuan.
Beliau mencadangkan pusat komputer di sekolah dinaikkan taraf supaya lebih kondusif dan memenuhi citarasa pelajar, selain kawasannya sentiasa selamat daripada pengaruh negatif.
Selain itu, kerajaan perlu mengenakan langkah tegas seperti mengekang atau mengawal filem ganas serta lucah kerana ramai pelajar meniru aksi terbabit hingga terjerumus dalam jenayah.
Dalam masa sama, jalinan kekeluargaan perlu kuat kerana ibu bapa tidak boleh lari daripada tanggungjawab mengawasi anak mereka. Jangan menyerahkan terus urusan menjaga atau mendidik anak kepada pihak lain,? katanya.
Menurut Lee, bagi mengumpul maklumat lebih lanjut berkaitan pola jenayah membabitkan pelajar, YPJM akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja dianggotai empat exco pertubuhan berkenaan.
Ia dipengerusikan oleh Profesor Doktor Rahimah Abd Aziz dari Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kajian pasti mengambil masa berbulan-bulan dan hasilnya nanti akan kami serahkan kepada kerajaan atau pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
YPJM berharap semua pihak dapat berganding bahu demi memastikan generasi akan datang tidak terjerumus ke dunia jenayah dengan memainkan peranan masing-masing sebaik mungkin, katanya.
|