|
PETALING JAYA 21 Mac — Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan agar rel penghadang dibina di sepanjang laluan pejalan kaki bagi memisahkan dengan laluan motosikal sebagai usaha menangani jenayah ragut.
Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata cadangan itu perlu dilaksanakan terutama di kawasan yang sering berlaku jenayah ragut demi memastikan keselamatan pejalan kaki daripada menjadi mangsa peragut yang menunggang motosikal.
“Kajian mendapati kebanyakan peragut adalah di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal dan mereka selalunya menjadikan pejalan kaki sebagai sasaran ragut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen keselamatan Lindungi Kawasan Kejiranan Kita, di Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di sini hari ini.
Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, berkata pembinaan penghadang itu juga adalah selaras dengan 23 langkah pencegahan jenayah melalui konsep Bandar Selamat yang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif TMC, Bryan Lin berkata menerusi kempen itu, penduduk Damansara akan diberi wisel untuk ditiup sebagai pemberitahuan jika berlaku sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka.
“Mereka boleh bekerjasama dalam membanteras jenayah di kawasan mereka dengan meniup wisel tersebut jika terlihat atau mengalami sebarang kejadian jenayah,” katanya.
— BERNAMA |