HomeNewsResourcesAbout MCPFContact UsEvents
News
Resources
About MCPF
Contact Us
     
  Kes disiplin pelajar perlu tindakan tegas - 03/03/2009

Kes disiplin pelajar perlu tindakan tegas - 03/03/2009

News Details
Headline: Kes disiplin pelajar perlu tindakan tegas
News Summary:  
Source: Berita Harian
Contact:  
E-mail:  
Website: Berita Harian
Full Report:

MASALAH disiplin di sekolah perlu diberi perhatian berat dan tidak boleh diabaikan. Ia adalah perkara yang perlu diberikan perhatian bersama oleh guru dan ibu bapa.

Disiplin pelajar di sekolah seluruh negara perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dan langkah diambil untuk memastikan masalah disiplin serta perlakuan ganas pelajar terhadap rakan sebaya mereka mahu pun kepada guru sekolah sendiri, dapat ditangani daripada awal lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa masalah disiplin pelajar, jika tidak dibendung akan mendatangkan masalah serius kepada negara, terutama dari perspektif pembinaan nilai murni di kalangan generasi muda.

Melihat perangkaan polis berkenaan kes salah laku dan jenayah membabitkan remaja sekarang, jelas menunjukkan masalah dihadapi remaja yang akan menjadi pemimpin negara, adalah serius.

Salah laku atau jenayah remaja dilakukan remaja dalam lingkungan umur 10 hingga 18 tahun. Apa yang lebih membimbangkan ialah kejadian jenayah yang dilakukan remaja lebih rendah umurnya dari lingkungan umur di atas, sejak lima tahun kebelakangan ini.

Banyak daripada mereka melakukan jenayah ini untuk mendapatkan wang bagi dibelanjakan di tempat hiburan yang mereka sukai seperti arked permainan video yang juga tempat larangan bagi mereka. Oleh kerana kebanyakan mereka dalam lingkungan umur persekolahan, sekolah, ibu bapa, polis dan masyarakat tidak boleh memandang ringan masalah ini, malah sesuatu yang berkesan perlu dilakukan segera untuk membendung gejala membimbangkan ini.

Kegagalan sekolah menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan pelajar akibat campur tangan ibu bapa juga adalah faktor mendorong pelajar tidak takut kepada disiplin dan guru sekolah.

Walaupun ibu bapa dan guru mempunyai tanggungjawab dalam membendung gejala negatif ini, mereka tidak harus dipersalahkan sepenuhnya. Pihak penguat kuasa undang-undang juga bertanggungjawab.

Pengusaha tempat hiburan yang hanya mementingkan keuntungan dan tidak mempedulikan soal moral dan etika juga bertanggungjawab terhadap gejala yang membimbangkan itu. Sebagai contoh, walaupun wujud rungutan dan bantahan terhadap filem dan bahan lucah, ia masih dijual secara terbuka di pasar malam.

Bahan lucah itu mudah diperoleh kanak-kanak dan dijual dengan harga murah di antara RM5 hingga RM8 setiap satu. Walaupun diakui beberapa aspek pencegahan jenayah dan disiplin diterapkan di dalam sistem pendidikan, adalah amat penting usaha untuk meningkatkan kesedaran dan memberi sokongan moral kepada pelajar kita untuk menjauhi kegiatan jenayah.


TAN SRI LEE LAM THYE,
Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.